Jazeman Jaafar & Kerong Li Sertai EBM Aston Martin untuk Perlumbaan SUPER GT di Malaysia

MC

Malaysia, 28 April 2025 – Pelumba kebanggaan negara, Jazeman Jaafar, bakal membuat penampilan sulung yang penuh debaran dalam siri SUPER GT di Litar Antarabangsa Sepang Petronas, bergandingan dengan bintang muda China yang sedang meningkat naik, Kerong Li, di bawah pasukan Earl Bamber Motorsport (EBM).

Mereka akan memandu jentera hebat Aston Martin Vantage GT3 EVO dalam kelas GT300 – satu penyertaan besar yang cukup mengujakan buat EBM dalam arena perlumbaan yang sangat kompetitif ini.

Gabungan ini memang ‘power’. Jazeman, salah seorang pelumba Malaysia paling berpengalaman di pentas antarabangsa, pernah beraksi dalam FIA World Endurance Championship, 24 Hours of Le Mans, dan GT World Challenge – malah pernah menjadi Pemandu Pembangunan untuk pasukan Formula 1 Mercedes-AMG Petronas. Sementara itu, Kerong Li pula terus mencipta nama dalam siri IMSA dan arena perlumbaan Asia.

Kedua-dua mereka melambangkan visi EBM – menggilap bakat terbaik dan membawa sukan permotoran serantau ke tahap lebih tinggi. Masuk ke dunia SUPER GT bukan mudah, tapi ia satu cabaran baru yang menarik buat pasukan ini.

Jazeman berkongsi:
“Cabaran paling besar adalah dari segi tayar. Dalam SUPER GT, peraturan tayar terbuka – jadi kami rasa bertuah ada Michelin sebagai rakan teknologi. Saya pernah pandu Aston Martin Vantage sebelum ini, tapi belum lagi versi EVO. Katanya ‘aero’ banyak upgrade, jadi kami memang tak sabar nak bawa cabaran ini ke perlumbaan rumah sendiri – demi Malaysia!”

Pemilik pasukan, Earl Bamber – pemenang Le Mans berulang kali – turut teruja:
“Masuk ke SUPER GT adalah langkah besar untuk kami. Tapi kami dah bersedia, bawa pengalaman dari GT3 seluruh dunia. Barisan pelumba yang kami ada cukup kuat, dan kami yakin boleh bawa pulang keputusan hebat.”

Kembalinya SUPER GT ke Sepang selepas 12 tahun pastinya jadi detik bersejarah buat peminat permotoran di Malaysia dan seluruh rantau Asia. Ia bukan sekadar perlumbaan – ia festival adrenalin, kelajuan dan aksi penuh mendebarkan!

“Malaysia satu-satunya negara luar Jepun yang jadi tuan rumah SUPER GT,” kata Fahrizal Hasan, Rakan Pengurusan Haro Sports and Entertainment. “Kami sasar kehadiran 80,000 peminat sepanjang tiga hari acara, dengan 30-35% pelawat dari luar negara.

“Kami juga jangka impak ekonomi sekitar RM194 juta (US$45 juta) melalui acara ini – satu suntikan besar untuk ekonomi tempatan.”

Perlumbaan ini dijangka menarik tontonan lebih 162 juta penonton dari seluruh dunia, secara siaran langsung dan dalam talian.

Sebagai pelengkap hujung minggu perlumbaan yang epik, Festival SUPER GT Malaysia dan konsert khas akan diadakan dari 26 hingga 28 Jun 2025 di kawasan Mall, Litar Antarabangsa Sepang Petronas.

Tiket dah mula dijual sekarang di saluran rasmi Haro Sports and Entertainment dan juga secara dalam talian (online) di www.supergtmalaysia.com. Peminat permotoran – jangan tunggu lama, dapatkan tiket awal dan jadi sebahagian daripada aksi perlumbaan paling hebat tahun ini!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
1.3k views

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Search

Archives