
Insiden di selekoh pertama antara Max Verstappen dan Oscar Piastri dalam perlumbaan hujung minggu lalu mencetuskan perdebatan hangat. Namun, berdasarkan garis panduan pemanduan yang dikemaskini musim lalu, keputusan penalti terhadap Verstappen adalah berasas.
Berdasarkan rakaman dan kedudukan kereta ketika menghampiri selekoh T1, jelas Piastri telah berada di hadapan Verstappen ketika memasuki fasa membrek dan masuk selekoh. Ini memenuhi syarat untuk ‘hak ke atas selekoh’ seperti yang digariskan dalam panduan FIA. Malah ketika kedua-dua kereta tiba di titik apex, bahagian hadapan kereta Piastri masih berada di hadapan cermin sisi kereta Red Bull milik Verstappen, satu lagi indikator bahawa Piastri berhak ke atas laluan perlumbaan dan ruang keluar ke T2.

Mengikut peraturan yang disemak semula selepas insiden Verstappen vs Norris di Austin 2023, penilaian terhadap hak selekoh bukan sahaja tertumpu kepada posisi di apex, tetapi juga semasa pendekatan ke selekoh (braking dan entry phase). Oleh itu, Verstappen sepatutnya memberi ruang sewajarnya kepada Piastri dan bukannya menutup laluan yang akhirnya menyebabkan perlanggaran.
Hak Piastri untuk mengambil garisan perlumbaan penuh dan keluar dari selekoh T2 tanpa diganggu adalah sah. Verstappen, walaupun seorang juara dunia, tidak dikecualikan daripada mematuhi peraturan ini. FIA kini lebih tegas dalam menegakkan keadilan di trek, tidak kira status mahupun rekod pelumba.