
Jerez – Pelumba muda berbakat negara, Hakim Danish, memulakan kempen musim 2025 dengan cemerlang apabila berjaya menamatkan Race 1 di kedudukan kedua (P2) dalam pusingan pertama Red Bull Rookies Cup semalam.
Hakim menunjukkan prestasi mantap sepanjang perlumbaan, mengemudi kelompok hadapan bersama pelumba dari Sepanyol dan Indonesia. Aksi konsisten ini memperlihatkan keupayaannya bersaing di peringkat tertinggi, namun satu kesilapan kecil di selekoh kedua terakhir menyaksikan beliau terpaksa akur untuk menamatkan perlumbaan di P2.
Walaupun berjaya menaiki podium, Hakim mengakui sedikit kecewa dengan kesilapan tersebut, namun bertekad untuk bangkit lebih kuat dalam Race 2. “P2 untuk Race 1 memberikan saya lebih keyakinan untuk esok. Walaupun sedikit kecewa dengan kesilapan tadi, saya akan kembali dengan lebih semangat,” katanya.
Hakim turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), SIC Racing, Terengganu Inc, dan RCB atas sokongan berterusan. Beliau juga terharu dengan kehadiran Tan Sri Azman Yahya dan Docdol dari RCB di grid perlumbaan, yang memberikan kata-kata semangat sebelum perlumbaan bermula.
“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri Azman Yahya atas sokongan terhadap pembangunan program SIC Racing, dan selamat bersara Tan Sri,” tambah Hakim.
Dengan keyakinan yang semakin membara, Hakim Danish kini bersedia untuk mengulangi pencapaian podium, malah membidik kemenangan dalam Race 2 esok!