





Monster Energy Yamaha Kembali ke Podium MotoGP!
Circuito de Jerez – Ángel Nieto menjadi saksi kebangkitan luar biasa pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP apabila Fabio Quartararo melonjak ke tempat kedua dalam perlumbaan 25 pusingan Gran Premio de España – penamat podium pertama mereka sejak GP Indonesia 2023. Rakan sepasukan, Álex Rins, juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya memintas 10 pelumba dari P23 hingga menamatkan perlumbaan di P13, satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan potensi sebenar jentera Yamaha.
Fabio Quartararo memulakan perlumbaan dari petak pertama dan tidak menoleh ke belakang apabila berjaya mempertahankan kedudukan mendahului di selekoh pertama. Dengan pelumba-pelumba lain bergelut di belakangnya, pelumba Perancis itu bijak mencuri peluang untuk menjauhkan diri sedikit pada pusingan awal. Namun pada pusingan ke-4, Francesco Bagnaia dan Alex Marquez mula memberikan tekanan.
Hanya Alex Marquez yang mampu mengekori rapat, dan pada pusingan ke-11, Marquez melakukan aksi pintas yang kemas di Turn 1 untuk merampas kedudukan pendahulu. Walaupun Quartararo cuba untuk kekal bersaing, dia terpaksa menukar fokus untuk mempertahankan tempat kedua daripada asakan Bagnaia.
Namun, El Diablo menunjukkan ketangkasan dan kematangan, menjadikan jentera Yamaha M1 miliknya ‘lebar’ dan sukar dipintas. Tanpa memberi ruang langsung kepada Bagnaia, Quartararo meluru ke garisan penamat dengan penuh gaya, menamatkan perlumbaan 1.561 saat di belakang pemenang – satu prestasi yang mengangkat semangat pasukan!
Álex Rins memulakan perlumbaan di kedudukan P23, namun tidak membiarkan kedudukan itu melemahkan semangatnya. Beliau naik satu kedudukan pada pusingan pertama dan mula memintas satu demi satu pelumba termasuk Augusto Fernández. Dalam masa yang sama, dua pelumba lain keluar ke gravel, memberikan peluang Rins untuk naik ke P18.
Menjelang pusingan ke-7, Rins berjaya mengatasi Aleix Espargaró dan kekal dalam kedudukan P16 untuk beberapa pusingan. Beliau tidak pernah menyerah – apabila Jack Miller bersara dan Joan Mir serta Franco Morbidelli terjatuh, Rins naik ke P13.
Dengan hanya beberapa pusingan berbaki, Rins sempat mengatasi Raul Fernandez untuk naik ke P12, tetapi sayangnya Marc Marquez memintasnya di saat akhir, menyaksikan Rins menamatkan perlumbaan di P13, hanya 21.120 saat di belakang pemenang. Walaupun tidak berada di podium, prestasi Rins tetap menyumbang mata penting kepada pasukan.
Kedudukan Terkini Kejuaraan
- Fabio Quartararo kini melonjak ke tempat ke-6 dalam kedudukan keseluruhan pelumba dengan 50 mata.
- Álex Rins kini berada di kedudukan ke-17 dengan 17 mata.
- Monster Energy Yamaha MotoGP naik ke tempat ke-4 dalam kejuaraan pasukan dengan 67 mata.
- Yamaha pula melonjak dari tempat ke-5 ke tempat ke-2 dalam kejuaraan konstruktor dengan 62 mata.
Pasukan akan kembali ke litar Jerez pada hari Isnin untuk menjalani ujian satu hari IRTA, sebelum kembali beraksi dalam GP Perancis di Litar Le Mans pada 9-11 Mei – perlumbaan ‘rumah’ buat Quartararo. Adakah El Diablo akan terus menyinar di tanah airnya? Sama-sama kita nantikan!