
Sejarah tercipta di Litar Jerez hari ini apabila Alex Marquez dari pasukan Gresini Racing membawa Ducati menamatkan perlumbaan dengan penuh bergaya, sekali gus menyamai rekod kemenangan berturut-turut milik Honda. Dengan kemenangan ini, Ducati kini mencatatkan 22 kemenangan Grand Prix berturut-turut, satu pencapaian luar biasa yang sebelum ini hanya pernah dicapai oleh Honda.
Rentetan kemenangan ini bermula sejak musim lalu dan terus berlanjutan ke musim 2025, membuktikan keunggulan Ducati dalam era MotoGP moden. Dengan pelumba-pelumba hebat seperti Francesco Bagnaia, Marc Marquez, Jorge Martin, Enea Bastianini dan kini Alex Marquez sendiri menyumbang kepada deretan kejayaan ini, Ducati memperlihatkan kekuatan kolektif yang sukar ditandingi.
Keupayaan jentera Ducati yang konsisten dalam pelbagai kondisi perlumbaan, dari litar kering hingga hujan serta kekuatan teknikal pasukan satelit kini dan sebelum ini iaitu Gresini Racing, Prima Pramac Racing dan VR46 Racing Team turut menyumbang kepada dominasi ini.
Kini, dengan rekod setara Honda, Ducati mengintai peluang untuk mencipta sejarah baru dengan kemenangan ke-23 dalam Grand Prix akan datang. Adakah Ducati mampu menjadi satu-satunya jenama dengan rekod kemenangan berturut-turut terbanyak dalam sejarah MotoGP?