
Dalam dunia perlumbaan dua roda, setiap gram memberi makna. Bezanya bukan hanya pada kelajuan di garis lurus, tetapi juga bagaimana jentera meluncur masuk ke selekoh, seimbang ketika membrek, dan lebih penting bagaimana pelumba mampu kawal jentera sehabis baik dalam setiap detik perlumbaan.
Bagi pelumba muda kami, Allan Harris, salah satu cabaran utama yang dihadapi musim ini bukanlah dari segi teknik tunggangan atau keberanian di atas litar tetapi dari berat keseluruhan. Mengikut peraturan, berat minimum gabungan antara pelumba dan jentera ialah 160 kg.Namun untuk Allan, jumlah berat bersama jentera ialah sekitar 183 kg, satu kekurangan yang bukan mudah diatasi.
Pasukan Two Wheels Racing telah berusaha menurunkan berat jentera seboleh mungkin, termasuk mengurangkan beberapa komponen bukan kritikal. Namun ada had, jika terlalu ringan akan menjejaskan kestabilan, terutamanya ketika mengambil selekoh laju atau membrek secara agresif.
Apa yang membuat situasi ini lebih mencabar ialah Allan sendiri sudah memiliki tubuh yang kurus dan sihat. Namun kerana dia bertubuh agak tinggi dan berotot pejal, tiada ruang lagi untuk dia turunkan berat tanpa jejaskan kesihatan atau prestasi.
Dalam perlumbaan, berat bukan sekadar nombor. Ia memberi kesan kepada kadar pecutan, kestabilan jentera, dan kecekapan penggunaan tenaga pelumba. Setiap kilogram tambahan memberi beban tambahan ketika menunduk, menukar arah, dan menolak jentera ke had maksimum.
Kalaulah Allan lebih ringan mungkin dia boleh potong lebih cepat di hujung lurus, masuk selekoh dengan lebih agresif, atau jimatkan setengah saat yang sangat berharga. Namun buat masa ini, kelebihan Allan ialah konsistensi, ketahanan, dan disiplin, yang tak boleh diukur dengan timbangan dan itu juga kekuatan yang kami banggakan.