
Pasukan BRAAAP Racing kembali bersaing dalam MSF SBK Pusingan Kedua di SIC South Track dengan semangat yang tidak pernah luntur, meskipun pulang dengan keputusan yang bercampur rasa.
Pelumba #177 Ezrix Syahriz menunjukkan konsistensi dalam kategori GP Pro, menamatkan perlumbaan di P5, sekaligus membawa pulang mata penting buat pasukan.
72 RacingNerd pula pada awalnya mencipta kejutan apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua kategori Super Rookie. Namun, impian podium itu direntap apabila beliau dikenakan penalti masa 12 saat kerana mencatatkan masa lap terlalu laju iaitu 1 minit 10 saat, berbanding had maksimum 1 minit 11 saat yang ditetapkan untuk kategori ini. Malangnya, kesilapan tersebut berlaku sebanyak 3 lap menyebabkan beliau jatuh pada kedudukan ke P5 tetapi masih dalam posisi podium. di Kejuaraan MSF, podium diberikan untuk posisi 5 terbaik.
Untuk pengetahuan, kesemua kategori MSF SBK (kecuali All Stars & Supersport) mengamalkan sistem “bracket time”, di mana setiap pelumba perlu berada dalam julat masa tertentu sepanjang perlumbaan. Tujuannya adalah untuk memberi ruang kepada pelumba baharu bersaing secara adil, sambil memastikan pelumba berpengalaman tidak mendominasi secara mutlak, menjadikan pertandingan lebih seimbang dan kompetitif.
138 Amirul pula tidak dapat meneruskan perlumbaan (DNF) atas isu teknikal dalam kategori GP X pada beberapa lap perlumbaan.
Menurut pengurus pasukan BRAAAP, beliau percaya bahawa RacingNerd layak untuk P1, memandangkan pelumba lain yang menamatkan di hadapan telah mencatatkan masa 1:09, iaitu lebih laju daripada bracket yang dibenarkan. Namun begitu, pihak pasukan menghormati keputusan rasmi kerana RacingNerd turut dikenakan penalti, sekaligus mengesahkan kedudukan rasmi di tempat ke-5.

Walaubagaimanapun, pasukan masih berjaya meraih podium dan mengutip mata penting dalam Team Battle League, hasil strategi ‘resort P5’ yang dilakukan. Fokus kini tertumpu kepada pengurusan masa yang lebih teliti dan taktikal pada pusingan seterusnya.
Dengan sokongan Estremo selaku penaja rasmi, BRAAAP Racing yakin akan terus melangkah ke hadapan.
