A1 Energy BMW Racing Team Sasar Dominasi ASB1000 Musim 2025

Toshi

Kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 kategori ASB1000 bakal menyaksikan kemunculan sebuah pasukan baharu dari Malaysia iaitu A1 Energy BMW Racing Team, yang tampil dengan barisan pelumba berkaliber, iaitu Azlan Shah Kamaruzaman dan juara Supersport 600 musim lalu, Apiwath Wongthananon dari Thailand.

Azlan Shah, 40, yang juga juara ASB1000 musim 2019 serta dua kali juara Supersport 600, kembali ke pentas ARRC selepas mengumumkan persaraan pada musim lalu. Namun, pelawaan eksklusif daripada A1 Energy BMW Racing Team serta peluang untuk menunggang jentera terkini BMW M1000RR dengan sokongan penuh kilang BMW dan Alpha Racing telah mengubah haluannya.

“Saya berasa lega dan gembira dengan pasukan ini. Saya kini lebih bersedia dari segi mental dan mahu memberikan saingan hebat kepada pelumba muda,” ujar Azlan, yang sebelum ini dikenali sebagai antara pelumba paling konsisten di rantau Asia.

Bagi Apiwath, atau lebih mesra digelar “Stamp”, penyertaan dalam kelas ASB1000 musim ini adalah langkah seterusnya selepas merangkul kejuaraan Supersport 600 tahun lalu. Pada usia 31 tahun, beliau bertekad mengukir nama sebagai pelumba dengan gelaran berturut-turut dalam dua kelas berbeza.

“Saya mahu jadi juara ASB1000 dan akan cuba menang setiap perlumbaan. Ini kali pertama saya menunggang BMW dan saya akan belajar daripada Azlan,” katanya penuh yakin.

Dengan tajaan utama daripada A1 Energy Sdn Bhd, pasukan ini tidak sekadar membawa cabaran di litar, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan dan mempromosi produk tenaga berprestasi tinggi keluaran syarikat tersebut.

Musim ARRC 2025 akan membuka tirai di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada 25-27 April ini, dan A1 Energy BMW Racing Team bersedia mencabar dominasi pasukan-pasukan handalan dalam kelas premier ASB1000.

Teruskan bersama Two Wheels..!

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp

Search

Archives