
Dalam saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025 yang berlangsung semalam, jentera Voge FR150 yang dikendalikan oleh pasukan KBG Motorsports mencuri perhatian apabila mencatat masa terpantas (P1) dalam sesi kelayakan Kumpulan B kelas Pro-Am. Dalam perlumbaan akhir, jentera ini terus menunjukkan potensi dengan bersaing dalam kumpulan hadapan dan menamatkan perlumbaan di kedudukan P8, hanya 0.415 saat di belakang juara, satu pencapaian yang membuktikan keupayaan sebenar FR150 dalam suasana persaingan sengit.
Selain itu, sebuah lagi jentera FR150 daripada pasukan lain turut menyertai perlumbaan dan menamatkan saingan di P13, menunjukkan bahawa jentera ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pasukan tempatan.
Kelas Pro-Am terkenal dengan peraturan modifikasi yang ketat, hanya komponen seperti blok, timing gear, ECU dan ekzos boleh diubah suai. Bagi FR150, mereka turut perlu mengecilkan throttle body dari 32mm ke 30mm, menjadikan pencapaian ini lebih bermakna.
Berbeza dengan pasukan Voge Racing Team AS25 yang masih mencari rentak di kelas CP150, FR150 telah membuktikan keupayaannya di atas litar. Pencapaian ini memberi gambaran jelas bahawa jentera tersebut mampu bersaing di peringkat lebih tinggi jika terus diberi penambahbaikan.
Dengan permulaan yang meyakinkan ini, FR150 kini muncul sebagai satu nama yang perlu diberi perhatian dalam perlumbaan musim ini.